;

Friday, July 19, 2013

Hanya Aku





Walau ku bahagia mengejar bayanganmu
Tak mungkin ku beroleh saat indah bersamamu

Walau sekadar mimpi
Tak pernah ku peduli
Selamanya kan ku pasti merindui dirimu...

Monday, July 15, 2013

Pelangi Buatku...

Salam Ramadhan. Tak sempat nak update blog disebabkan kekangan halangan yang tiada hentinya datang menerpa. Sudah kehendak kerja sebegitu, terima sajalah seikhlasnya, tanpa rungutan...hehehe. Hasrat dihati teringin sangat nak mencoret tentang beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam hidup lebih-lebih lagi yang menggembirakan. Macam biasalah, kalau sebut tentang kehidupan, bukan sahaja yang gembira sahaja, tapi mesti juga ada yang pahit dan menyakitkan. Orang kata baru balance!

Pada 4 Julai 2013 yang lepas, ada sesuatu yang menggembirakan berlaku dalam diri. Gembira sebab ianya tidak disangka-sangka. Apakah ia? Jeng..jeng..jeng... Saya telah diumumkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, mewakili pejabat. Wah!! Sangat teruja sebenarnya sebab baharu 4 tahun berkhidmat di UTM. Sewaktu di YWJ dahulu, selepas 8 tahun barulah nama naik sebagai penerima anugerah yang sama. Rupanya berada di tempat yang lebih ramai staf, dengan berbekalkan tempoh perkhidmatan yang tidak terlalu lama, lebih awal rupanya rezeki itu menjengah! Apapun, itu semua rezeki. Kalau ada yang mempertikaikannya, mereka memang b erhak untuk berbuat sedemikian pun. Hak mereka lah. Saya no komen sebab anugerah sebegini kita tidak pernah memintanya, bahkan ianya melalui satu proses bermula daripada pencalonan dan peringkat seterusnya. Kalau dilihatkan prosesnya, memang panjang dan berperingkat. Jadi, malas nak bercerita di sini. Yang pasti saya telahpun naik pentas untuk menerima pengiktirafan tersebut! Hehehe....

Tinggalkan dahulu kisah gembira di atas. Sejak awal Ramadhan hinggalah sekarang, tak putus-putus rasanya saya menerima perkhabaran saudara-mara yang jatuh sakit, kematian selain bermimpikan orang-orang yang terlebih dahulu pergi meninggalkan saya iaitu Mummy saya. Pernah saya ceritakan dalam blog saya ini juga kisah mummy yang meninggal dunia akibat penyakit kanser beberapa tahun yang lalu. Sejak akhir-akhir ini saya sering mimpikan dia, sehinggakan ada satu malam, tanpa sedar saya menangis di dalam tidur dan tersedar dalam keadaan pipi yang basah dilinangi tangisan. Memandangkan mummy saya itu berbangsa Cina, tiada Fatihah yang dapat saya sedekahkan kepada dia melainkan hanya ingatan yang tulus. Awal permulaan Ramadhan, ayahanda kepada sahabat saya pergi mengadap Ilahi. Arwah memang saya kenali, kerana berkawan rapat dengan anaknya. Pemergian arwah di bulan Ramadhan sangat-sangat meninggalkan kesan kepada anaknya namun setelah saya nasihati untuk beliau renungkan kelebihan bulan Ramadhan dan baraqah yang arwah ayahnya bakal perolehi, terubat sedikit kesedihan tersebut. Semalam pula, saya baru pulang daripada melawat pakcik di Shah Alam yang dimasukkan ke ICU sejak awal Ramadhan yang lalu kerana komplikasi paru-paru. Pakcik yang saya panggil Ayah Long sememangnya seorang pakcik yang mesra dengan saya sejak kecil lagi. Saya ingat lagi pada usia 17 tahun apabila saya berura-ura untuk memohon kursus kewartawanan (MASCOMM) di UiTM sebaik sahaja result SPM diumumkan, beliau orang yang saya rujuk kerana beliau juga seorang wartawan ketika itu. Beliau sangat menyokong minat saya itu namun atas alasan-alasan tertentu saya tidak jadi untuk memohon kursus berkenaan. Beliau juga sering berbual bertanyakan banyak perkara mengenai diri saya apabila berkunjung ke rumah. Beliau tahu saya seorang yang suka bersukan dan beliau akan menyokong minat saya dengan memperincikan kelebihan-kelebihan bersukan kepada tubuh badan kita dan macam-macam lagi. Cuma, sewaktu diri saya dikecam hebat oleh sanak saudara akan satu keputusan yang saya lakukan, beliau langsung tidak memberikan komen atau bertanya apa-apa kepada saya. Saya sebenarnya ternanti-nantikan juga komen atau nasihat daripada beliau. Tapi, jauh dalam sudut hati, saya sangat berharap agar beliau menjadi satu-satunya ahli keluarga yang dapat memahami mengapa keputusan tersebut yang saya pilih kerana beliau sememangnya sangat memahami diri, jiwa dan karakter saya selama ini dan saya sangat menghormati beliau kerana sikapnya yang suka memberikan nasihat dan tak lupa juga kata-kata perangsang kepada saya sejak saya masih dibangku sekolah sehinggalah kini. Semoga Allah segera sembuhkan Ayah Long daripada penyakit yang sedang dihidapinya. Amin.

Apapun juga dugaan, kesedihan mahupun kegembiraan yang datang menerpa dalam hidup, akan saya tempuhi dengan tabah dan sabar. Sebab saya tahu disebalik semua itu, ada pelangi indah yang telah Allah janjikan untuk saya kelak....