;

Thursday, July 23, 2009

KENANGAN HADIAH SASTERA DARUL TA'ZIM VII 2009


Alhamdulillah..majlis HSDT kali ketujuh ini berjaya juga dilaksanakan setelah dipinda tarikhnya kali pertama. Saya sebenarnya memang tak sabar nak setelkan segera penganjuran HSDT sebab rasa macam da penat sangat buat persiapan segala termasuk menanggung urusan akibat pindaan tarikh kali pertama. Seminggu sebelum HSDT berlangsung, kami ada satu program di Ledang, Johor iaitu Perhimpunan Silat Sendeng yang diadakan di Dataran Ledang. Kepenatan dari program silat sendeng rasanya masih belum hilang lagi dan saya terpaksa pula kembali berhadapan dengan HSDT. Penat...memang penat...tapi itulah tanggungjawab namanya. Tanggungjawab yang digalas harus dilaksanakan sebaik mungkin. Dan dengan kerjasama dan bantuan pelbagai pihak terutama staf-staf YWJ sendiri yang bertindak selaku krew produksi pada malam tersebut, HSDT berjaya diadakan dengan gemilang! Mungkin bila saya menyebut gemilang, orang akan memandang dari aspek kemewahan semata. Tetapi, gemilang yang saya maksudkan lebih kepada konteks matlamat. HSDT kali ini merupakan kali ketujuh diadakan yang mana sebenarnya usianya sudah masuk sedekad lamanya. Oleh itu, kami berpendapat, untuk sambutan yang sedekad ini, elok kiranya tema penganjuran kali ini dibuat dengan lebih kreatif sedikit. Maka, lahirlah kemudiannya tema iaitu "SEDEKAD HSDT: MENGIMBAU KEGEMILANGAN PENULIS JOHOR". Kemudian, dari semasa ke semasa, ada sahaja pandangan bernas yang dilontarkan oleh teman-teman dalam memastikan penganjuran kali ini lebih menarik berbanding terdahulu demi meraikan usianya yang telah sedekad itu. Pandangan-pandangan tersebut kami olah dan sesuaikan dengan faktor semasa dan hasilnya sebagaimana yang dapat dilihat malam itu.

Bercerita tentang penerima hadiah pada malam tersebut, boleh juga dikatakan
penguasaan lebih kepada penerima lelaki kerana hanya segelintir sahaja penulis wanita yang dinobatkan sebagai penerima. Tak lupa juga sebuah buku yang menghimpunkan karya-karya penerima HSDT Keenam berjudul KIDUNG AKARKU yang dilancarkan pada malam tersebut. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato' Hj. Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor. Antara penerima-penerima tersohor yang menerima hadiah termasuklah Zaharah Nawawi, Zaid Akhtar, Serunai Faqir, Saharil Hasrin, Shamsudin Othman serta ramai lagi. Bagi hadiah utama pula, Lee Tan Luck mengungguli kategori Hadiah Karyawan Bukan Melayu Johor. Beliau yang merupakan seorang pensyarah di UiTM Segamat, Johor, telah banyak menghasilkan karya dalam bahasa Melayu dan diterbitkan. Bagi kategori ini, saya telah banyak berhubung dengan pelbagai persatuan penulis bukan Melayu termasuk berhubung dengan Uthaya Shankar sebab kalau boleh, kami nak menobatkan penulis dari kaum India pula untuk memenangi hadiah ini. Namun apakan daya, calon yang diberikan oleh saudara Uthaya tidak kuat ketokohannya kalau nak dibandingkan dengan Lee Tan Luck. Maka, sekali lagi penulis bangsa Cina yang dinobatkan bagi hadiah ini.

Keputusan penuh HSDT akan saya sertakan dalam blog termasuk beberapa gambar sekitar majlis. Perkara terakhir yang ingin saya kongsikan mengenai majlis ini ialah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dr. Mawar Shafei kerana tampil sebagai penerima yang paling banyak menerima hadiah pada majlis HSDT kali ini. Tahniah Kak Mawar!!!!